KETAWA - Terapi Yang Mujarab




BUKA bil kad kredit anda dan ketawalah sekuatnya! Atau buka mulut dan jelirkan lidah. Buat seakan anda sudah sepuluh hari tidak makan.

Pelik? Percaya atau tidak, membuatkan diri ketawa boleh menjadi terapi terbaik tanpa kita sedari. Maklumlah, seratus kali ketawa sehari bersamaan dengan 10 minit berjoging. Ini sudah semestinya lebih mudah dilakukan berbanding berlari mengelilingi sebuah padang.

Taip sahaja perkataan ketawa dalam enjin pencarian Internet dan ratusan fakta tentang terapi ini boleh ditemui. Daripada memberi kepuasan mental sehinggalah mengubah penampilan fizikal, ketawa seakan satu keupayaan paling berharga anugerah Tuhan.

Seorang pakar psikologi Jerman, Dr. Michael Titze dalam kajiannya pernah berkata, secara purata, mereka yang hidup pada tahun 1950-an ketawa selama 18 minit sehari. Kini, kebanyakan kita hanya menghabiskan maksimum enam minit untuk ketawa setiap hari.

Berbanding orang dewasa, kanak-kanak lebih mudah tersentuh dan ceria. Sehari, mereka boleh ketawa sehingga 400 kali padahal orang dewasa secara purata hanya ketawa sebanyak 15 kali.


YOGA dikatakan mengajar pengamalnya untuk berfikiran positif dan berpenampilan ceria.


Mungkin sebab itulah, guru ketawa dari India, Dr. Madan Kataria begitu giat memperjuangkan kebaikan kesihatan menerusi ketawa.

Mengetengahkan terapi ketawa melalui yoga, Madan mengelilingi dunia demi membuktikan bahawa ketawa sememangnya penawar paling mujarab.

Madan berkongsi teknik-teknik ketawa berkumpulan menerusi gerakan kelab ketawa serata dunia yang diasaskannya.

Jangkitan ketawa yang diperkenalkan beliau nampaknya turut tersebar ke Malaysia. Ini berikutan penganjuran satu sesi Yoga Ketawa oleh sebuah pusat yoga terkemuka di Lembah Klang baru-baru ini.

Tidak seperti yoga konvensional yang lebih tenang dan senyap, yoga ketawa menjanjikan satu pengalaman baru. Memang melucukan, seluruh kelas termasuk jurulatihnya tidak henti ketawa.

Terapi ini bermula dengan ketawa yang dibuat-buat. Jurulatih Cheryl Lim terpaksa melontarkan arahan-arahan ringkas yang berbunyi: "Jangan malu-malu. Ikut sahaja apa yang saya sebut."

"Sebut 'ho ho ho ha ha ha'. Ingat. Jangan malu. Jangan bersembang. Sebabnya, bila anda membuka mulut untuk bercakap, anda akan mula menganalisis. Itu tidak baik untuk membuatkan anda ketawa yang disarankan," kata wanita berusia 32 tahun ini.


JELIRKAN lidah untuk membuat reaksi wajah lucu.


Sambil bertepuk tangan setiap kali selepas menyebut 'Ho ho ho Ha ha ha', kelas yang terdiri daripada puluhan peserta itu mula diselubungi suara-suara mengekek.

Cheryl mula berjinak-jinak dengan seni yoga sejak enam tahun lalu juga pernah menghadiri bengkel anjuran guru yoga terkemuka termasuklah Madan.

Sebutan biasa 'Ho ho ho' dan 'Ha ha ha' serta tepukan tangan itu kemudiannya beralih kepada aksi yang lebih menyeronokkan.

Semua diajak berdiri setempat. Sambil membuat aksi menarik teh dan dituangkan ke dalam mulut, peserta perlu ketawa. Kata Cheryl, inilah yang dinamakan 'Ketawa Teh Tarik' - versi tawa daripada kehidupan harian rakyat Malaysia.

Selesai regangan itu, tumpuan dialihkan kepada Ketawa Kad Kredit pula. Jika selama ini, kenyataan kad kredit mendukacitakan, selepas ini, ketawalah sekuat hati anda!

Tidak payah menganalisis atau terlalu banyak berfikir. Yoga ketawa sememangnya mengajak anda membuang segala fikiran negatif sejauh mungkin.


CHERYL LIM


Tidak perlu mengawal emosi atau control macho, yang penting, rileks dan ketawa sajalah, Ha ha ha!

Cheryl berkata, tidak ada satu cara yang betul untuk ketawa. Semuanya bergantung kepada diri masing-masing. Namun, aksi ketawa dalam yoga unik ini terdiri daripada puluhan mahupun ratusan jenis. Dia sendiri telah mempelajari 40 jenis aksi ketawa.

Antaranya termasuklah ketawa meminta maaf, ketawa menyambut, ketawa singa dan ketawa sambil mengukur tubuh.

"Oh, lain kali, kalau dimarahi bos, mungkin anda semua boleh cuba 'Ketawa Menghargai'. Ha ha ha ha ha... sambil membuat gaya menerima angpau di Tahun Baru Cina," ujar Cheryl yang tidak henti-henti ketawa.

Sesi yoga ketawa yang berlangsung kira-kira dua jam itu berhenti rehat selama beberapa minit setiap setengah jam. Tujuannya untuk membenarkan organ-organ dalaman berehat.

"Biasanya, sesi ketawa ini akan berlangsung kira-kira 20 minit hingga maksimum 30 minit. Ini bagi mengelakkan tekanan yang mungkin menjejaskan jantung," jelas Cheryl.

Tambahnya, yoga ketawa bagaimanapun tidak sesuai untuk sesetengah orang. Sekiranya anda pernah menjalankan pembedahan di perut, anda hanya disyorkan mencuba terapi ini selepas tiga bulan.

"Pesakit yang menghidap glaukoma juga tidak begitu digalakkan. Ini kerana ketawa boleh memberi tekanan kepada mata," katanya.

Seorang peserta, Carmen Nee yang ditemui Kosmo! berkata, dia menyertai sesi tersebut semata-mata untuk keseronokan.

"Saya pernah dengar orang sebut pasal yoga ketawa. Tetapi tidak begitu pasti bagaimana rupanya. Sekarang baru saya tahu, yoga ketawa begitu menarik dan menyeronokkan," kata wanita yang berusia 29 tahun ini.


KETAWA dapat memperbaiki sistem imunisasi tubuh, melegakan kesakitan, tekanan dan meningkatkan kepuasan diri.


Bercerita lanjut, Carmen mengakui pada awalnya dia berasa agak kekok dan malu untuk buat-buat ketawa.

"Mula-mula rasa macam bodoh... tapi tak sangka, lepas itu memang jadi amat kelakar sebab semua orang pun buat. Akhirnya, saya terus ketawa," terangnya.

Bayangkan, dalam satu senario, peserta diminta menunjukkan aksi meminta maaf sambil ketawa sekuatnya. Tidak logik dan tiada apa yang patut dimaafkan, cuma suara ketawa dan keceriaan yang mengisi seluruh kelas yoga.

Malah, keadaan itu membuatkan kumpulan wartawan yang duduk di belakang bilik membuat liputan gagal menahan emosi dan terus ketawa terbahak-bahak.

Jadi, bukankah benar ketawa sememangnya sesuatu yang berjangkit? Menariknya, kelibat seorang peserta menjadi tumpuan apabila dia ketawa sehingga terguling di atas lantai.

Aksi spontan peserta tersebut menyebabkan seluruh kelas ketawa tidak berhenti.

"Ini memang menyeronokkan. Tengok betapa menariknya sehingga membuatkan semua orang seronok. Baik untuk hilangkan stres," ujar Yea Hooi, 28, yang berdiri berdekatan.

Yea Hooi, juga seorang jurulatih yoga berkata, semua orang khasnya mereka yang sentiasa tertekan patut mencuba terapi ini.

"Siapa kata yoga semestinya senyap dan slow motion? Jika ketawa boleh membuang segala masalah yang terbuku di hati, mengapa tidak mencuba?" katanya sambil terukir senyuman di bibir.

Bagaimana aksi ketawa ini boleh dianggap sebagai yoga? "Ia adalah yoga kerana gabungan latihan ketawa dengan teknik pernafasan yang membawa masuk oksigen ke dalam tubuh dan otak. Maka, seseorang akan berasa lebih bersemangat dan sudah tentunya sihat!"


WALAUPUN kedengaran agak pelik, terapi yoga ketawa telah menjadi fenomena di seluruh dunia.


800 kelab ketawa di dunia

HARI Ketawa Sedunia yang jatuh pada setiap Ahad pertama dalam bulan Mei adalah cetusan idea Dr. Madan Kataria.




Sebagai The Merry Medicine Man, Madan telah menerajui teknik baru dalam yoga menerusi terapi ketawa. Lebih 800 Kelab Ketawa Antarabangsa yang dipengerusikannya kini boleh ditemui di India, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Itali, Denmark, Singapura, Dubai dan juga Malaysia.

Beliau yang merupakan pakar perubatan sistem alopatik bertauliah telah menganjurkan pelbagai bengkel dan ceramah di serata dunia demi mengetengahkan ketawa sebagai ‘ubatannya’.

Ketawa baginya adalah satu ‘jangkitan’ positif. Kajian saintifik tentang ketawa dan kesan-kesannya ke atas aspek biokimia, fisiologi dan kelakuan manusia banyak dibentangkan oleh beliau.

Setiap sesi dimulakan dengan pernafasan dalam-dalam dan beberapa dos ho ho ho serta ha ha ha. Aksi ini kemudiannya diikuti dengan pelbagai rangsangan ketawa termasuk ketawa koktel, ketawa menari, ketawa senyap dan ketawa sekuatnya.

Pelbagai kebaikan ketawa telah pun kita ketahui. Tetapi, yang pasti perjuangan Madan telah membentuk satu kesedaran yang mungkin sudah dilupakan ramai iaitu ketawa sememangnya ‘ubat’ paling mujarab di dunia.

1,001 kelebihan bawang


BAWANG merah merupakan antara bahan wajib yang dimasukkan dalam setiap hidangan makanan kerana fungsinya sebagai ramuan masakan. Selain digunakan untuk memasak, bawang merah yang dihiris nipis dan digoreng, ditaburkan di atas pelbagai sajian yang berkuah atau bergoreng.

Tahukah anda bahawa bawang merah juga bertindak sebagai ubat dalam merawat pelbagai penyakit kronik? Bawang merah atau nama saintifiknya Allium cepa var aggregatum, merupakan sejenis tumbuhan dalam kumpulan Aggregatum. Walaupun saiznya lebih kecil berbanding bawang besar, tetapi ia mengandungi pelbagai khasiat dan kebaikan dalam merawat penyakit yang serius.

Kebanyakan pakar perubatan mendapati, bawang merah mampu mengurangkan risiko penyakit antaranya kanser. Selain itu, bawang merah juga bertindak sebagai penawar untuk melegakan sakit perut, menggalakkan rembesan kahak dan menambah aliran air kencing.

Sementara itu, artikel yang ditulis oleh Dr. Barry Sears dalam bukunya yang bertajuk The Top 100 Zone Foods menyatakan, kajian menunjukkan individu yang makan bawang setiap hari, dapat mengurangkan kadar kolesterol. Tanaman bermusim ini memiliki umbi yang berlapis, berakar serabut dan daunnya berbentuk seperti silinder berongga.

Umbi bawang merah mula terbentuk dari pangkal daun kemudian bersatu dan membentuk batang yang berubah bentuk dan fungsinya. Akhirnya ia akan membentuk akar yang berlapis. Dalam proses penanaman dan kematangan bawang merah, tumbuhan ini memerlukan dua unsur penting, iaitu unsur nitrogen dan kalium.

Ini kerana unsur nitrogen akan membantu perkembangan daun, meningkatkan warna hijau daun dan pembentukan cabang. Sementara itu, unsur kalium pula berfungsi untuk pembentukan gula, asas penghasilan protein, pemangkin bagi tindakbalas enzim dan meneutralkan asid organik.

Dengan adanya kedua-dua unsur ini dalam penanaman bawang merah, proses pembentukkan akar pokok berjalan dengan lancar. Sekiranya bawang merah mengalami kekurangan kalium ia akan mengakibatkan tanaman bawang merah terganggu dan rosak. Bawang merah yang mengeluarkan percikan yang memedihkan mata ketika dihiris, mengandungi vitamin C, potasium, serat dan asid folik. Bukan itu sahaja, ia juga mengandungi kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.

Beberapa penyelidikan mengenai khasiat bawang merah mendapati, bawang merah mengandungi dua bahagian yang terdiri daripada sulfur seperti allyl propyl disulphida (APDS) dan flavonoid seperti quercetin. Flavonoid dipercayai mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis kerana ia mempunyai unsur-unsur antikanser, antibakteria, antiviral, antialahan dan antibengkak.

Pengkaji dari India mendapati, lebih banyak kita makan bawang merah semakin rendah gula dalam darah. Mereka juga berpendapat, tiada perbezaan bawang merah mentah dan bawang merah yang direbus. Kajian terbaru menunjukkan, bawang merah mengandungi enam kali ganda kandungan fenolik berbanding bawang biasa. Kandungan tersebut membantu mengeluarkan toksin dalam badan.

Bukan itu sahaja, bawang merah yang berasa manis ini, mempunyai saponins iaitu sejenis kimia yang dapat menghindarkan dan membunuh sel kanser. Ia akan mencairkan darah beku dan menunjukkan tahap tinggi antiplatelet yang baik untuk pesakit yang menghidap penyakit aterosklerotik, penyakit jantung, dan strok. Ia juga membantu fungsi otak dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Bagi mereka yang menghidap kencing manis, bawang merah juga dapat mengurangkan tahap gula melalui mengehadkan keberkesanan insulin dan meninggikan metabolisma glukos.

“Bawang merah bukan sahaja diminati kerana melazatkan hidangan tetapi ia merupakan sejenis sayur yang begitu tinggi nilainya dalam kesihatan,” jelas Profesor Persatuan Penanaman, Universiti Wisconsin, Madison, Irwin Golman.

Dengan menikmati bawang merah setiap hari ia boleh membantu pertumbuhan tisu tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis sebanyak 20 peratus. Kandungan prostaglandin A-1nya, iaitu sejenis agen yang kuat mengurangkan tekanan. Kandungan sulfurnya juga boleh membantu kulit kelihatan muda.