Selera mewah Tahun Baru
Ramai orang Cina sanggup melabur untuk membeli abalon dan menyimpannya bertahun-tahun. Semasa sambutan Tahun Baru, abalon menjadi santapan mewah untuk seisi keluarga.

SEBUAH periuk berisi dua ketulan 'daging' berwarna coklat keemasan dibawa ke ruang makan. Dengan penuh berhati-hati, Ricky Ng menggunakan sudu bagi mengeluarkan ketulan yang seakan-akan jongkong emas untuk dimasukkan ke dalam sebuah pinggan.
Tanpa membuang masa, kuah di dalam periuk diceduk dan dituang ke atas ketulan tadi. Basahan kuah yang terkena ketulan itu menyerlahkan warna keemasannya.
Bagi masyarakat Cina, makanan laut daripada keluarga siput yang dikenali sebagai abalon ialah hidangan mewah yang diidamkan oleh setiap orang.
Abalon yang merupakan sejenis siput marin dengan satu cengkerang dan kaki muskular dipercayai telah wujud sejak 100 juta tahun dahulu.
Disebut sebagai Bao Yu dalam bahasa Mandarin, abalon dipercayai boleh memberi keuntungan atau nasib baik bagi mereka yang menikmatinya. Lebih-lebih lagi pada hari kebesaran seperti Tahun Baru Cina.

Mengikut tradisi lama, hidangan abalon lazimnya hanya dikhaskan untuk hari-hari istimewa seperti perkahwinan.
Sama seperti sup sarang burung atau sup sirip ikan yu, abalon dikelaskan sebagai antara bahan masakan yang menjadi simbolik kepada kekayaan dan pangkat yang tinggi.
Justeru, tidak hairanlah jika hanya mereka yang berkemampuan dan bercita rasa tinggi berpeluang menghargai makanan 'pembawa tuah' itu.
"Abalon umpama emas dan harganya sentiasa turun dan naik terutama di China atau Hong Kong. Di sana, masyarakat Cina sanggup melabur untuk membeli abalon dan menyimpannya bertahun-tahun. Kalau simpan abalon di dalam ruang pembeku peti sejuk, ia boleh bertahan sehingga lima atau enam tahun.
"Apabila harga di pasaran naik, abalon yang tinggi kualitinya boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit sekilogram. Sebab itulah orang kaya Cina menganggapnya sebagai satu komoditi," kata Ricky, seorang chef dan pemilik bersama restoran Taiping Ho Chiak di Petaling Jaya kepada Kosmo! baru-baru ini.
![]() |
| |
Menurutnya, bagi menikmati seketul abalon yang berkualiti di restoran, anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM200.
"Tetapi jika hendak membeli abalon kering yang berkualiti premium, sediakan sahaja wang sehingga RM15,000 untuk 600 gram," katanya.
Kosmo! difahamkan, abalon keluaran Jepun mengalami peningkatan dan penurunan harga yang amat pantas. Dalam tempoh sedekad dua lalu, harga abalon dari negara itu semakin meningkat.
"Kira-kira 30 tahun lalu, 600 gram (sekati) abalon Jepun hanya berharga sekitar RM1,000.
"Sekarang, nilai abalon Jepun yang berkualiti tinggi boleh mencecah RM23,000 sekati," jelas Kwan W.L., seorang pengurus kedai herba dan makanan laut kering, Taimal Herbs & Medicine Sdn. Bhd. di Pavilion Kuala Lumpur.
Ceritanya lagi, setiap kali tiba Tahun Baru Cina, kebanyakan masyarakat Cina tidak akan teragak-agak untuk berbelanja mewah bagi mendapatkan makanan istimewa itu.
"Abalon dalam tradisi masyarakat Cina ialah produk makanan laut berkualiti tinggi.
"Sama ada telah ditinkan atau yang kering, menikmati abalon dianggap satu kemewahan yang dinikmati sekurang-kurangnya sekali setahun," katanya.
![]() |
| KWAN W. L. menimbang abalon di kedainya. |
Di kedai itu, berbalang-balang abalon kering pelbagai saiz tersusun rapi di atas rak-rak besi. Ada yang sekecil diameter saiz ibu jari manakala ada pula sebesar buku lima seorang lelaki.
Sambil mengeluarkan beberapa abalon kering dari balang kaca itu, Kwan memberitahu, harga pasaran abalon biasanya ditentukan oleh golongan pembekal.
"Kualiti abalon dari Jepun paling baik. Sebabnya air laut di sana bersih. Faktor cuaca dan kualiti air yang bebas pencemaran serta hasil abalon yang dituai amat terhad menjadikan harganya mahal," jelasnya sambil meletakkan beberapa ketul abalon ke atas mesin penimbang.
Dalam aspek kesihatan pula, abalon dipercayai boleh memberi kesan positif kepada tubuh. Bagi mereka yang banyak menggunakan otak sewaktu bekerja atau mempunyai tubuh yang lemah, gabungan abalon dengan herba-herba tertentu amat membantu.
![]() |
| SANGGUPKAH anda membayar ribuan ringgit hanya untuk menikmati seketul abalon? |
Antara lain, abalon kering membekalkan sumber selenium terbaik, magnesium, vitamin B12, vitamin E, karbohidrat dan protein.
Bagaimanapun, Ricky yang memiliki hampir empat dekad pengalaman memasak secara profesional menyifatkan abalon dari Afrika Selatan paling baik.
"Saya rasa abalon Afrika Selatan lebih mudah dikendalikan. Ia senang direndam dan lembut. Terdapat banyak jenis abalon di pasaran.
"Jadi, jangan mudah tertipu kerana ada sesetengahnya hanya shellfish. Bila memilih abalon, tengok pada warna dan bukan saiznya.
"Selain itu, dapatkan abalon yang kenyal tetapi bukan keras. Abalon yang keras bermakna ia sudah disimpan terlalu lama. Warna abalon yang baik ialah coklat keemasan, bukan coklat kehitaman," tambahnya.
![]() |
| BEGINILAH rupa ‘kemewahan’ abalon yang telah dimasak. |
Selain itu, waktu terbaik untuk menuai abalon ialah pada musim sejuk kerana saiznya lebih besar dan tekstur isinya pula lembut.
Biarpun ada abalon yang ditinkan tetapi, kata Ricky, rasanya kurang sedap. Abalon dalam tin lebih liat dan semakin mengeras jika dimasak terlalu lama.
"Prosedur memasak abalon juga memerlukan kepakaran. Kebanyakan penjual mengajar cara yang salah. Sebelum dimasak, abalon sepatutnya diberus untuk membuang kotoran dan bagi memastikan kuah supnya lebih jernih," pesan Ricky.




